Tuesday, March 24, 2009

Bahasa, lempang dan fantasinya...

Sama ada artikel 153 wujud atau mati, manusia di Malaysia perlu untuk menguasai bahasa Inggeris.

Manusia di mana-mana ceruk dunia pun akan menggunakan satu bahasa 'standard' untuk berhubung antara satu sama lain. Bahasa 'standard' ini berubah mengikut keadaan, masa dan tempat. Ini semua bergantung kepada kesesuaian- iaitu kesesuaian agar apa yang ingin disampaikan dapat difahami semua.

Satu kesesuaian yang pasti ketika ini ialah- bahasa Inggeris adalah bahasa global. Bahasa dunia.

Sekiranya Stephen Chow bertemu dengan Barack Obama, pasti mereka akan bertutur dalam bahasa Inggeris. Ini hakikat. Begitu juga apabila Mat Korea cuba mengorat gadis melayu, bahasa Inggeris akan digunakan. Ini kebenaran. Tidak perlu terjerit sini, melolong sana.

Lalu adalah menjadi perkara wajib kepada kita semua untuk menguasai bahasa Inggeris. Kita tidak perlu menjadi manusia yang bodoh sombong- seperti orang Perancis yang enggan bercakap bahasa Inggeris. Kita juga jangan mengikut perangai rakyat Jepun yang terlalu bangga dengan bahasanya sehingga menolak bahasa Inggeris.

Dan sekiranya kita terjumpa dengan seseorang yang menggunakan alasan 'bahasa melayu bahasa kebanggsaan' untuk menolak mempelajari bahasa Inggeris, kita wajib melakukan dua perkara. Pertama-kita lempang. Kedua-kita minta maaf. Tidak ada apa-apa nilai 'kebangsaan' pada bahasa Melayu itu sekiranya kita duduk ternganga tidak faham apa yang diucapkan oleh pegawai Kastam di Woodland, Singapura.

Noktah Sebentar.

Apabila susuk bernama Mahathir Mohammad memperkenalkan PPSMI, begitu ramai yang salah faham mengenai dasar ini. Daripada menteri hinggalah kepada pembangkang, baik si cikgu mahupun murid-murid- semuanya berfantasi bahawa tujuan PPSMI adalah untuk menguasai bahasa Inggeris. Bagi saya ini fantasi bodoh. Pertama- bodoh kerana tidak memahami tujuan Mahathir. Kedua- bodoh kerana membiarkan diri terus dibodohi.

Adalah perkara gila untuk seseorang pelajar memperkayakan 'vocabulary' bahasa Inggerisnya dengan simbol +,-,x,%,=. Tidak mungkin juga seorang murid di kampung Durian Runtuh mampu 'speaking' dengan baik hanya dengan menghafal formula pengoksidaan. Kerana itu saya katakan jika PPSMI untuk menguasai bahasa Inggeris- ia adalah fantasi bodoh.

Cara terbaik untuk menguasai sesuatu bahasa adalah dengan mempelajari sasteranya. Dari sastera, barulah kita faham akan lenggok bahasanya. Dari sastera juga, begitu banyak perkataan baru yang dapat dipelajari. Jika tidak percaya- sila lihat generasi atuk nenek kita yang kebanyakannya fasih berbahasa Inggeris. Ketika itu sajak-sajak Ella Wilcox menjadi 'buku teks' di sekolah. Bait-bait puisi A B Banjo Paterson, 'ave ceasar' menjadi hafalan. Begitulah mereka menguasai bahasa Inggeris. Bukan dengan tambah tolak darab bahagi.

Malah ketika ayah saya mempelajari bahasa jepun pun, beliau dipaksa untuk melakonkan watak dalam puisi 'A Cuckoo Sings' karya Kobayashi Issa. Sama jugalah dengan diri saya dalam mempelajari bahasa Arab. Ketika itu jenuh saya dipaksa berlakon untuk sajak 'Andalusia Masa'' tulisan Abu Hasan Al-Husri. Saya tidak dipaksa berlakon menjadi gas metana ataupun proses penyulingan. Ini sekali lagi membuktikan belajar bahasa dengan sastera bukan dengan sains atau matematik.

Noktah Sebentar.

Kalau masih ada yang menolak PPSMI dengan alasan 'bahasa melayu adalah bahasa kebangsaan', kita perlu lakukan dua perkara. Lempang dan minta maaf. Jika sesiapa yang menyokong PPSMI dengan fantasi 'untuk penguasaan bahasa Inggeris'- ingat dua perkara juga. Lempang dan minta maaf. (BB)

Monday, March 9, 2009

Bahasa dan Gosipnya...

Manusia- suka atau tidak- pasti perlu untuk berfikir. Manusia yang tidak berfikir adalah sama seperti tin kosong. Pergi tersepak pulang terlanggar. Untuk berfikir, manusia memerlukan bahasa. Bahasa akan menerangkan sesuatu dan dari bahasalah sesuatu penyelesaian dapat difikirkan. Dari beribu-ribu macam bahasa di dunia ini, manusia akan berfikir menggunakan bahasa yang paling difahaminya. Ini akliah manusia.

Adalah perkara bangang jika seorang Bangla berfikir dalam bahasa Perancis untuk mencari jawapan 2+2 sama dengan berapa. Tidak mungkin juga seorang melayu berfikir dalam bahasa urdu untuk mengetahui apakah hasil campuran oksigen dan karbon sulfat. Penemuan dan penerangan tentang sesuatu ilmu pengetahuan pastilah dilakukan dalam bahasa si penemu itu.

Saya cukup yakin Leonardo Da Vinci berfikir dalam bahasa Itali ketika mereka bentuk Golden Horn. Begitu juga dengan idea Karl Max di dalam buku Das Capital- yang datang dalam bahasa German bukan bahasa Arab. Kemudian sila bayangkan Thomas Edison- si pencipta ulung Amerika- berfikir dalam bahasa Melayu ketika mencipta mentol. Kemungkinan kita sekarang dalam keadaan bergelap tanpa cahaya lampu.

Semua ini adalah kerana mereka berfikir di dalam bahasa yang mereka fahami- ertinya bahasa ibunda mereka. Bahasa yang dari kecik lagi mereka fasih.

Noktah Sebentar.

Heboh di sana sini tentang bahasa melayu di negara kita. Paling terbaru saya terdengar gosip-gosip mengenai PPSMI. Gosip ini telah 6 tahun berlarutan. Kejap hilang kejap muncul- betul-betul macam penjual VCD cetak rompak di Pasar Malam.

Lalu saya timbulkan satu persoalan: APAKAH TUJUAN UTAMA BAHASA INGGERIS DALAM SAINS DAN MATEMATIK?

Jawab ini dahulu, baru nak bergosip. Jika jawapannya untuk 'melahirkan pelajar yang kritis dalam ilmu pengetahuan...bla....bla...bla..supaya Malaysia dapat mencapai wawasan 2020..zzz..zzz..', maka saya kira PPSMI WAJIB dihentikan. Tidak perlu ada eeekkk sini oookkkk sana. Batal. Habis. Cukup. Tamat.

Ilmu pengetahuan hanya akan berkembang sekiranya manusia berfikir dalam bahasanya. Memaksa pelajar-pelajar berfikir menggunakan bahasa yang mereka tidak kuasai adalah perkara bangang. Ia samalah seperti memaksa penyu jantan bertelur.

Pelajar melayu yang dari kecik cakap bahasa melayu akan lebih mudah berfikir tentang sesuatu permasalahan sains. Begitu juga pelajar Cina hanya dapat mencari jawapan kepada soalan matematik yang kompleks dengan bahasanya. Kita perlu jujur akan hakikat manusia berfikir dengan bahasanya. Dari situ barulah idea-idea mengegarkan dunia dapat dihasilkan. Dan sejarah telah pun membuktikannya.

Noktah Sebentar.

Jika Leonardo Da Vinci, Karl Max atau Thomas Edison menjadi pelajar di Malaysia sekarang, sudah pasti selepas tamatnya SPM mereka akan membunuh diri kerana tidak dapat berfikir. Atau jika mereka masih hidup pun mereka pasti menulis sebuah buku. Dan tajuk buku itu ialah '3 Teknik Menjadi Pelajar Bijak Berfikir dan Soleh'. (BB)

Monday, February 2, 2009

Basuh Baju

Basuh Baju merupakan blog saya yang keempat. Dalam blog ini saya akan menulis segala macam mengenai kehidupan. Apa yang saya fikir- itu yang saya tulis. Saya cuba menjadi sejujur mungkin di dalam penulisan saya.

Saya tidak menganggap tulisan-tulisan saya sebagai komentar politik. Saya pernah terserempak dengan tulisan-tulisan politik tetapi seringkali mendapati ia bosan, berat dan skema. Jadi saya cuba melarikan diri sejauh mungkin dari teknik penulisan yang klise (cliche). Saya menulis dengan harapan akan melebarkan lagi ruang demokrasi di Malaysia.

Sebagai pengembang konsep N.G.I- Non Governmental Individual- yang dimulakan oleh Hishamuddin Rais, saya merayakan apa sahaja yang baru. Menolak apa sahaja klise yang membosankan serta menerima apa sahaja perbezaan dan kepelbagaian. Dalam konsep N.G.I, setiap susuk DILARANG MELARANG.

Saya akui gaya penulisan saya seperti Hishamuddin Rais- ini tidak saya nafikan. Tetapi saya percaya tidak ramai yang mampu mengikut cara penulisan beliau. Untuk itu saya berani mencuba. Dan harus diingat, gaya penulisan sahaja yang sama tetapi tidak pada kandungannya.

Saya amat berharap blog ini mampu untuk membasuh pemikiran-pemikiran klise yang ada pada kebanyakan kita. Saya percaya perjuangan terbesar setiap insan adalah membebaskan pemikiran mereka- tidak dikongkong oleh sesiapa mahupun apa-apa.

Terima Kasih dan Selamat Membaca!