Wednesday, May 19, 2010

KL-Sydney



































Dah lama dah sebenarnya gua nak pergi berjalan ke negara orang. Dan ini memang hobi gua. Masa gua form 4 dan form 5, gua jalan bangladesh. Dari situ gua kenal erti kesusahan. Tahun lepas gua jalan Singapura, dari situ banyak jugak gua belajar. Jadi tahun ni gua plan nak jalan jauh sikit.

Asalnya gua dah beli tiket pergi Abu Dhabi. Tapi entah macam mana flight cancel. Rezeki gua dapat jalan ke Melbourne dan Sydney. Memang durian runtuhlah memandangkan gua hanya bayar RM350 je untuk tiket pergi balik. Kalau kawan baik Tony Fernandes pun belum tentu boleh dapat rate ni.

Gua bertolak hari rabu jam 2 petang. Sampai sana 2 pagi. Cuaca sikit punya sejuk sampai bercakap pun keluar asap. Peh- gua memang teruja bab cakap kuar asap ni. Jadi gua pun beberapa kali cakap sorang-sorang sampaikan ada mat saleh yang tengok gua dah macam orang tak betul. Gua tak kisah. Ini benda rare- kat Selayang mana nak cari.

Jam 4 pagi gua terbang pula ke Sydney. Memang letih. Lagi-lagi mata sebab asyik dok usha pramugari. Taktik gua pramugari-lantai-kerusi-tingkap-pramugari-lantai-kerusi-tingkap. Dan begitulah seterusnya.

Jadi selama 2 hari gua duduk di Sydney. Apa yang gua belajar-itu semua gua akan tulis kemudian. As for now gua publishlah beberapa keping gambar yang gua rasa berpatutan untuk diletakkan kat blog ni. Nak lebih-lebih pergi cari fb gua dan tengok.

Gambar kat Melbourne kita cerita esok-esok ok?



ps: basuhbaju akan menulis mengenai trip ke Australia dalam masa beberapa hari ini. Nantikan...


Tuesday, May 18, 2010

Demokrasi Pintu Belakang

DARI ARKIB BERITA..............

Kerajaan Krygyztan Tumbang


BISHKEK 8 April – Pembangkang mengambil alih kerajaan di Kyrgyzstan dan mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini, selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan yang mengakibatkan 75 orang maut di negara bekas Kesatuan Soviet ini.

Baju Merah Cetus Korban Berdarah


BANGKOK 11 April - Penunjuk perasaan antikerajaan hari ini mempertahankan kedudukan mereka di serata Bangkok dan menolak rundingan dengan kerajaan, selepas konfrontasi selama sebulan mencetuskan pertempuran yang meragut 21 nyawa dalam keganasan politik terburuk di Thailand sejak hampir dua dekad lalu.


*
Salah satu fungsi demokrasi ialah menubuhkan kerajaan melalui pilihanraya. Walaupun demokrasi bukanlah berkisar mengenai pilihanraya semata-mata namun pilihanraya adalah satu-satunya cara bagi orang ramai memilih kerajaan secara sah dan mengikut undang-undang.

Memang benar di dalam proses pilihanraya kita selalu mendengar ketidakadilan berlaku. Apatah lagi jika pilihanraya tersebut diadakan di negara-negara membangun seperti Malaysia. Tetapi ini tidak bermakna pilihanraya tidak diperlukan dalam memilih kerajaan. Kita perlu pilihanraya.

Ada yang berpendapat buat apa dijalankan pilihanraya. Kita patut pilih cara pilhan jalan raya. Cara ini lebih demokratik. Lebih melibatkan suara orang ramai.

Jika dilihat cara ini memang selari dengan garisan demokrasi. Ditambah lagi tidak ada undang-undang yang melarangnya.

Tetapi sila baca dua berita di atas- satu di Krygyztan dan satu di Thailand. Keduanya telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat. (Malah ratusan nyawa jika diambil angka tidak rasmi).

Lebih teruk, bukan sahaja cara yang demokratik ini mengorbankan nyawa, tetapi ia tidak berkesudahan.

Di Krygyztan, ia bermula dengan Revolusi Tulip. Presiden mereka telah digulingkan melalui jalanraya. Kerajaan baru dipilih. Tetapi selepas itu muncul pula beberapa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang baru dengan menggunakan pilihan jalan raya juga. Sudah tentu ada nyawa yang terkorban. Keadaan di dalam negara tidak stabil.

Di Thailand, rakyatnya menjatuhkan Thaksin Shinawatra pada tahun 2006 atas alasan korup. Namun apa yang terjadi kemudiannya adalah drama baju kuning dan baju merah. 3 perdana menteri baru silih berganti namun ia masih tidak berkesudahan. Keadaan di dalam negara tidak stabil.

Di Malaysia, kita pernah dihiburkan dengan drama 16 September. Kononnya kerajaan baru bakal ditubuhkan dengan melompat parti.

Sememangnya melompat parti tidak sama dengan pilihan jalanraya. Tetapi keduanya adalah demokrasi pintu belakang.

Menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang sememangnya demokratik. Tetapi ia menjadikan kerajaan yang baru sebagai tidak legitimate. Kerajaan yang diangkat melalui pintu belakang tidak akan berjaya membawa kestabilan politik. Politik jatuh menjatuhkan akan terus dimainkan dari satu pihak ke satu pihak.
Kesejahteraan rakyat semakin diabaikan. Sementara itu pelabur akan lari. Syarikat ditutup dan pekerja dibuang. Pelancong lari dan imej negara menjadi buruk di mata dunia.

Ini ibarat satu vicious cycle yang tidak henti. You play by the sword, you die by the sword.

Di sinilah betapa pentingnya pilihanraya. Dengan cara ini sahajalah kerajaan yang sah dapat dipilih. Lebih penting, kestabilan politik mampu dikekalkan dan negara dapat ditadbir dengan lancar

Kita mungkin tidak setuju cara pilihanraya dijalankan. Tetapi yang perlu diubah ialah caranya bukan menolak sistem pilihanraya. Samalah seperti membenci seorang muslim yang cuba menjadi polis moral. Yang perlu ditolak ialah muslim tersebut bukannya agama Islam.

Daripada kedua contoh yang saya telah berikan, sila bayangkan pula sekiranya demokrasi pintu belakang Anwar Ibrahim berlaku di Malaysia. Mungkin kita akan ke kedai mencari baju kuning atau baju merah?



ps: yang perlu diulas ialah mengenai demokrasi. Bukan soal Anwar atau Mahathir lagi. Bebaskan diri dari kepompong dua tokoh ini. Kita perlu berbincang beyond that.

Monday, May 17, 2010

Noktah Sebentar- Pilihanraya

Ada yang berpendapat sekiranya pilihanraya mampu mengubah sesuatu sudah lama ianya diharamkan. Kata-kata ini kita akan dengar sebelum pilihanraya bermula. Selalunya ia muncul dari pihak yang selalu kalah.

Memang benar pilihanraya di Malaysia terdapat banyak manipulasi. (Undi pos, persempadanan kawasan, daftar pemilih, etc, etc)

Namun di sebalik manipulasi ini keputusan pilihanraya telah berjaya membawa perubahan. 5 buah negeri dan 8 pilihanraya kecil adalah bukti bahawa pilihanraya mampu mengubah sesuatu.

Yang hairannya pihak yang sering berkata sedemikian tidak pula berkata begitu selepas parti sokongannya menang. Malah berbangga menggunakan keputusan pilihanraya tersebut sebagai petanda angin perubahan telah muncul.

Adakah pilihanraya tidak mampu mengubah sesuatu atau mereka sendiri yang tidak mampu memenangi pilihanraya?

*

Ada juga yang tidak percaya konsep bernegara. Bagi mereka kewujudan negara hanya membawa masalah. Pegangan anarki mereka kita patut hormati. Hidup ini bukan hitam dan putih sebaliknya berwarna warni.

Namun yang hairannya mereka begitu berminat mengikuti dan membuat analisis mengenai pilihanraya.

Bukankah pilihanraya adalah asas kepada pembentukan sebuah kerajaan di negara yang demokratik?

Sunday, May 16, 2010

Democracy and condom

Ini adalah percubaan pertama saya memasuki pertandingan short film. Democracy Video Challenge adalah pertandingan yang diadakan di seluruh dunia. Penganjurnya adalah US Embassy.

Video yang saya arahkan ini hanya mengambil masa 8 jam untuk siap. Itupun di hari akhir submission baru buat. Muzik background tak berapa kena malah terlalu banyak aspek teknikal yang boleh diperbaharui.

Senang cerita video ini bertaraf amatur.

Tanpa dijangka, video saya telah memenangi tempat kedua di Malaysia. (Hanya kalah kepada Linus Cheong yang saya kenal sebagai professional filmmaker dan juga krew Yasmin Ahmad.)

Malaysia merupakan negara kedua selepas China yang paling banyak menghantar penyertaan. Keseluruhan video berjumlah 900 lebih.

Saya bersama-sama 2 lagi wakil Malaysia telah menjadi semifinalist peringkat Asia Tenggara.

Namun, ketika saya sedang berjogging dari Sydney Opera House ke Harbour Bridge, saya diberitahu video saya gagal memasuki ke peringkat akhir.

Saya ingin tujukan kepada semua pembaca blog BasuhBaju yang secara tidak langsung memberi saya ilham kepada makna demokrasi.

Walaupun kecewa kerana terlepas peluang ke New York, Wahington dan Hollywood- saya tetap berbangga di atas pencapaian ini. :)

Ini adalah video saya: Sila enjoy dan kritik. Ok, chow dulu. Sekali lagi gua online dari CC. Damn...




Saturday, May 15, 2010

Australia. Sydney. Melbourne

Maaf kerana lama sangat tidak menulis. BasuhBaju sedang berjalan-jalan dan ada kerja sedikit di Australia selama 6 hari.

Dari Kuala Lumpur ke Melbourne. Dari Melbourne ke Sydney. Aku jalan sorang-sorang. Dunia ini luas. Berjalanlah...



ps: gua update ni pun dari CC. 12 ringgit 20 minit. Cilakak. Sempat main FB je.

Tuesday, May 4, 2010

Habuan Politik














EZAM, PALANIVEL ANGKAT SUMPAH SENATOR

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, sebentar tadi.

Mereka adalah antara empat Senator baru mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dua lagi ialah Pengerusi Eksekutif Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat



notakaki: kalau jawatan senator digunakan sebagai habuan untuk memuaskan hati politikus, maka berlumba-lumbalah semua politikus berkeras menjadi calon pilihanraya kecil dan menghentam ketua pembangkang.

Adakah begini kualiti ahli dewan negara yang kita mahukan?

Sunday, May 2, 2010

Konsert Double Trouble: Search Wings






Saya bukanlah generasi yang membesar dengan muzik rock. Adalah mustahil untuk mereka yang lahir pada tahun 89 melayan muzik rock. Di zaman persekolahan saya, genre nasyid telah mengambil tempat. Saya hanya kenal rock ketika menyertai PLKN 3 tahun yang lepas. Itupun melalui beberapa kenalan yang mereka perolehi kaset rock dari abang-abang mereka. Di universiti sekarang, jangan mimpilah nak jumpa geng yang minat sama. Lagi-lagi gi UIAM.haha Kalaupun ada yang minat muzik rock, itupun setakat band-band jiwang seperti SLAM dan Ukays. Band-band otai macam Search dan Wings sangatlah kurang.

Saya adalah insan yang menilai sesuatu band dan penyanyi itu melalui vokalnya. Lagi-lagi ketika membuat persembahan. Bagi saya inilah asas kepada nyanyian. Lirik dan muzik di nombor dua. Tetapi ini pendapat masing-masinglah. Saya bukanlah pakar pun. Kalau anda tak bersetuju tidak mengapa. Cuma inilah sebabnya mengapa saya meminati Search dan Wings. Bagi saya vokal mereka ketika membuat persembahan cukup mengagumkan. Amy Search dan Awie Wings- keduanya adalah penyanyi yang rare.

*

Malam tadi saya ke sana. Sejujurnya inilah kali pertama saya pergi ke konsert rock. Jadi saya akui saya bukanlah insan yang pakar dan tahu selok belok tentang muzik apatah lagi muzik rock. Yang saya nampak, itu yang saya tahu. Dari pengalaman itu sahajalah pandangan ini diolah.

Jam 7 saya tiba di Bukit Kiara Equestrian Indoor Arena. Ini kawasan elit. Tempat orang kaya main kuda. Saya agak hairan kenapa penganjur memilih tempat ini sebagai tapak konsert. Tapi nak cari parking tak susah. Letak sahaja kereta di kaki jalan. Cuma yang lecehnya bila nak keluar parking. Ini betul-betul bikin panas.

Kebanyakan penonton datang dengan kereta. Ini memberi gambaran bahawa kebanyakan peminat Search dan Wings adalah mereka yang sudah bekeluarga, kerja mula nak steady dan di dalam lingkungan 30-an ke atas. Mengikut jenis kereta yang dipakai, mereka ini termasuk di dalam middle class income macam saya. Kelas rakyat pertengahan yang membawa kereta nasional dan yang seharga dengannya. Saya dapat bayangkan ketika Search dan Wings ditubuhkan, mereka ini pastilah di kaki bangku persekolahan lagi. Kini masing-masing sudah kerja dan ada yang datang satu famili.

Ini membuatkan saya tersenyum. Kalau dulu konsert rock pasti dipenuhi dengan anak-anak muda sahaja. (sampai dilabel sebagai tempat maksiat). Tetapi kini konsert rock sudah mula ada unsur acara kekeluargaan. Maklumlah yang muda-muda dulu dah jadi bapak orang. Jiwa angry young man pun dah sejuk sikit.haha

Sesekali ada juga kelibat kereta-kereta mahal yang turun sama berkonsert. Kalau dulu konsert rock hanya untuk golongan rakyat marhaen. Tetapi kini sudah mula diterima golongan atasan. Ini tidak menghairankan dan patutlah bukit kiara dipilih sebagai tapak konsert. Sudah pasti ramai peminat Search dan Wings yang sudah berjaya.

Walaupun tak ramai, tetapi golongan anak muda mat-mat motor pun ada. Mereka ini bagi saya adalah golongan muda yang tidak ber'lady gaga' dan tidak ber'bunkface'. Jiwa mereka tidak mudah ditipu dengan High School Musical dan Akademi Fantasia. Ini sekaligus menunjukkan bahawa peminat Search dan Wings merentasi zaman. Sudah turun dari generasi ke genrasi baru. Dulu bapak minat, sekarang anak pula yang follow. Berapa ramai band atau penyanyi di Malaysia yang sehebat begini?

Dan sebab inilah saya turun ke konsert semalam walaupun tidak pernah ke konsert rock. Maklumlah bukan senang nak menyaksikan konsert yang menghimpunkan dua nama gergasi. Kali terakhir konsert ini dilangsungkan pun pada 17 tahun yang lepas. Saya sudah pasti mahu menjadi statistik mereka yang hadir semalam.

Di dalam stadium, DJ Ismahalil Hamzah cukup pandai menaikkan semangat penonton. 15 ribu orang di dalam stadium pun bersorak kegembiraan. Mereka seolah kehausan sesuatu. Dari mata mereka saya dapat lihat betapa rindunya mereka kepada 2 band ini. Mereka ini pastilah menyimpan seribu satu kenangan di sebalik lagu-lagu Search dan Wings.

Tepat jam 8.45 konsert pun bermula. Lagu Gemuruh menjadi pembuka tirai konsert. Inilah lagu berhantu dari Search dan Wings. Para penonton terus melonjak kegirangan dan turut menyanyikan sekali. Yang mana bawa famili dan sudah berumur, mereka hanya menonton dari tempat duduk stadium. Yang mana masih muda dan bertenaga, mereka berdiri di tengah padang.

Pada mulanya Search dan Wings tampil dengan lagu-lagu yang jarang didengari. Hanya yang betul-betul harcore sahaja hafal lagu-lagu tu. Saya pun tak hafal. Tetapi menjelang pertengahan konsert, barulah lagu-lagu seperti Balada Pemuzik Jalanan, Isi atau Kulit, Gadisku, Fenomena, Opera Hidup, Misteri Mimpi Syakila, Sejati, Taman Rashidah Utama dan Sejati keluar. Masa ini penonton sudah histeria. Sampai ada yang pengsan. Biasalah tu, terlebih seronok agaknya.

Kemudian Amy Search menyanyikan lagu killernya iaitu Isabella. Lagu ini seusia dengan saya. 21 tahun lamanya. Lagu inilah yang merevolusikan era slow rock di Malaysia. Lagu ini diiringi dengan nyalaan lighter dari para penonton. Memang layan sambil tutup mata.

Apapun kemuncak konsert pada malam itu bukanlah di lagu Isabella sebaliknya ketika persembahan drummer dari kedua-dua band. Yazit dari Search dan Black dari Wings masing-masing berentap menunjukkan skil masing-masing. Selama 15 minit penonton dipukaukan dengan dentuman drum mereka. Saya melihat persembahan ini sebagai penghargaan kepada mereka sendiri. Mereka ini adalah unsung heroes. Selalunya kita asyik memfokuskan kepada penyanyi sehingga terlupa bahawa tanpa drummer dan gitaris, tak mungkin band itu akan menjadi seperti ke hari ini.

Kemuncak kedua konsert ini pula ketika Awie dan Amy memberikan penghargaan kepada 'Tok Mat'- bekas menteri penerangan Malaysia yang merupakan musuh utama muzik rock circa 90-an. Tok Mat jugalah yang telah menggunting rambut Awie dan Amy di RTM pada 1992. Jadi di malam itu keduanya secara sinis atau jujur telah berkata 'Tok Mat adalah ayah kami dan kami adalah anak Tok Mat.'

Selepas lebih 20 lagu dinyanyikan, konsert sudah tiba ke pnghujungnya. Amy membawa lagu Rozana manakala Awie menyanyikan Nur Nilam Sari sebagai lagu-lagu terakhir. Saya masih setia menanti lagu Pawana. Tetapi yang keluar ialah gorengan gitar daripada Kid, Joe dan Nasir. Jam di tangan menunjukkan jam 11. Bermakna konsert sudah di penghujung. Namun masih tidak ada tanda-tanda lagu Pawana dan Hukum Karma akan keluar. Saya sedikit frust. Jadi saya mengambil keputusan untuk keluar awal. Saya tidak mahu terperangkap di dalam trafik.

Ketika berjalan keluar daripada stadium, saya melihat abang-abang polis yang bertugas juga menghayunkan kepala melayan konsert ini. Sampai begitu sekali penangan dan pengaruh kedua band ini.
Dari luar saya pandang ke dalam. Saya perhatikan selama 3 jam, penonton tidak henti menyanyi dan bersorak. Begitu lama rupanya standing ovation diberikan. Berbanding persembahan-persembahan di konsert lain, hanya beberapa saat standing ovationnya. :p
.

Sepanjang perjalanan pulang saya pelajari sendiri bagaimana muzik mampu menyatukan manusia. Begitu ramai golongan dari pelbagai generasi dan lapisan kelas masyarakat yang menyokong Search dan Wings. Kalaulah Search dan Wings menjadi parti politik, saya kira parti PAS dan UMNO pun boleh tergugat. Saya juga melihat muzik adalah milik rakyat bukan hak kerajaan untuk mengawal dan menentukan. Sekalipun menteri cuba menghalang, pasti tidak dapat mengatasi kemahuan rakyat. Saya yakin jika Tok Mat masih hidup, pasti beliau akan menyedari hakikat ini semalam.

17 tahun yang lepas, ketika konsert Double Trouble yang pertama berlangsung saya masih kecik. Tidak pernah terfikir 17 tahun berikutnya, di malam 1 Mei 2010 saya akan menjadi sebahagian daripada seajrah Konsert Double Trouble yang kedua.

Kepada Search dan Wings- terima kasih kerana menghiburkan kami. Lu orang memang otai brader!



notakaki: konsert ungu di stadium putra pun 2000 orang yang datang. Konsert Tokio hotel kat OU yang ada bunkface pun 4000 je. Yang pergi buat konsert serentak dengan otai apahal?

notakakikaki: untuk membaca review dari orang dalam. Boleh klik sini.