Monday, September 7, 2009

Salam Perantauan

Antara perkara yang paling saya suka ketika di bulan Ramadhan ialah membaca Salam Perantauan di akhbar. Selalunya ruangan salam ini muncul di akhbar melayu. Walaupun amat jarang saya membeli akhbar melayu, tetapi ada kalanya saya terbeli. Maklumlah bila tertekan dengan projek, minda ini perlukan lawak jenaka juga. Dan akhbar melayu tidak pernah menghampakan saya dengan berita-berita kelakar seram.

(Oh ye, untuk rekod saya tak beli pun Utusan. Gila apa. Membeli Utusan seolah-olah saya telah melakukan satu dosa kepada daya fikrah sendiri. Saya lagi rela membayar RM1.50 untuk sekeping otak-otak daripada meyumbang kepada gaji Awang Selamat yang menulis macam orang tak ada otak.)

*
Berbalik kepada ruangan Salam Perantauan, saya cukup seronok bila melihat begitu ramai warga Malaysia- baik pelajar mahupun pekerja- yang berada di setiap pelusuk dunia. Dari Amerika hinggalah ke Jepun- rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki.

Ada yang diterbangkan kerana memiliki otak yang bijak. Ada yang ke sana kerana kepakaran yang dimiliki. Ada juga yang bernasib baik kerana ditaja oleh kerajaan. Tidak kiralah apapun sebabnya- bagi saya ia satu bukti Malaysia sudah ke hadapan.

Sejujurnya saya berasa bangga.

*
Dalam berseronok membaca Salam Perantauan, timbul satu pertanyaan- adakah mereka yang berada di luar sana akan pulang ke Malaysia? Adakah mereka akan berbakti kepada negara? Adakah mereka akan menyumbang kembali kepada masyarakat? Atau mungkin mereka akan memilih untuk terus menetap di sana?

Saya tidak tahu. Tetapi saya ada membaca mengenai fenomena Brain-Drain (penghijrahan orang bijak pandai ke negara lain). Malaysia juga tidak terkecuali.

Begitu ramai pelajar-pelajar kita yang sanggup melanggar kontrak perjanjian kerana mengejarkan gaji yang tinggi. Itu belum dicampur lagi dengan pakar-pakar tempatan yang lebih suka menyumbang kepada negara luar berbanding negara sendiri.

Adakah kerajaan sedar akan fenomena ini? Jika sedar, apakah tindakannya? Jika ada tindakan, adakah ia mencukupi? Sekali lagi, saya tidak tahu.


Kepada warga Malaysia yang berada di luar sana, satu pesanan untuk anda- " Mengirimkan salam perantauan sahaja tidak cukup. Jangan lupa untuk pulang ke Malaysia.'

Saturday, September 5, 2009

Cerita menjelang DUApuluh


Ceritanya begini....

Ayah saya seorang kapitalis. Dirinya seorang yang berniaga. Sentiasa tahu dan bijak dalam mencari duit. Saya tidak pasti sama ada dengan menjadi seorang kapitalis bermakna ayah saya seorang yang tidak baik. Tetapi apa yang saya pasti, beliau sentiasa memberikan layanan yang baik kepada pekerja-pekerjanya. Saban tahun, tanpa gagal beliau akan memberikan bonus dan kenaikan gaji. Malah waktu bekerja juga hanya 5 hari seminggu dari 9 pagi hingga 5 petang. Cuti-cuti tahunan serta cuti-cuti perayaan juga turut diperuntukkan.

Hubungan beliau dengan para pekerjanya ibarat sebuah keluarga. Jika ada untung lebih, beliau akan membawa mereka pergi bercuti bersama. Jika ada kesusahan yang dihadapi oleh mereka, ayah saya akan cuba menolong sedaya mungkin. Setiap bulan setiap seorang daripada pekerjanya akan mengadakan makan besar beramai-ramai- sebagai tanda meraikan ikatan ukhwah yang terjalin.

Dengan perkara-perkara yang saya sebutkan ini saya percaya ayah saya bukanlah seorang yang jahat walaupun hakikat beliau seorang kapitalis- yang membuat untung dan mencari duit.

Ibu saya pula boleh saya gambarkan sebagai seorang yang sosialis. Beliau amat suka menolong orang. Kadang-kadang tu sehingga menyebabkan ibu saya pokai. Perkara ini dapat saya lihat semenjak dari kecil lagi. Asal sahaja ada penjual-penjual barang yang mengetuk kereta, peminta derma dari masjid yang datang ke rumah sehinggalah kepada anak kecil yang menjual kaset agama- semuanya ibu saya beli dan beri tanpa banyak soal.

Itu belum dicampur lagi dengan tindakannya memberi derma kepada anak yatim dan rumah kebajikan. Mungkin kesusahan yang dialaminya ketika masih kecil mengajarnya agar sentiasa menolong mereka yang memerlukan. Dan inilah ajaran yang diterapkan kepada saya. Kata ibu hari ini kita mungkin senang, esok tidak mustahil kita pula yang susah.

Saya tertanya-tanya adakah ibu mempunyai sifat sebegini kerana ibu menyokong dan mendalami apa itu sosialis. Atau kerana ajaran agama. Atau mungkin kerana sifatnya yang memang begitu. Saya tiada jawapan.

Noktah sebentar.

Dari kedua nilai ini, saya dibesarkan. Dari ayah, saya diajar tentang bagaimana mahu mencari duit. Ini penting untuk masa depan saya. Dari ibu, saya dididik untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini penting untuk masa depan saya di dunia lain.

Hari ini, selepas hampir dua dekad saya hidup di muka bumi ini, saya menilai kembali sepanjang pengalaman saya. Saya terfikir:

'Apa yang penting bukannya sistem mana yang kita pilih. Yang penting ialah orang yang menjalankan sistem tersebut. Kerana di akhirnya diri kita sendiri yang menentukan baik buruk sesuatu sistem. Kita boleh berbuat baik di dalam sistem kapitalis- kalau kita mahu. Kita juga tidak semestinya memerlukan sistem sosialis kalau hendak berbuat baik- asalkan kita mahu. Ingat, perangai bergantung kepada diri sendiri bukannya sistem.'


Mungkin benar mungkin tidak. Saya tidak tahu. Tetapi dari apa yang saya perhatikan, inilah pandangan saya.

Friday, September 4, 2009

Selamat Hari Jumaat

Kalau dulu tahun 1969, orang cina hayun penyapu je- terus satu Kuala Lumpur bermandi darah.

Sekarang tahun 2009, orang melayu yang beragama Islam seret kepala lembu- tapi keadaan masih terkawal. Malah orang melayu dan orang Islam sendiri kutuk kejadian tu.

Maknanya apa? Rakyat Malaysia semakin toleransi dan saling menghormati. Siapa kata perpaduan kita begitu teruk?

Yang teruk ialah ahli politik kita sahaja. Mereka sebenarnya yang mengharu-birukan perpaduan di negara kita. Politikus begini yang perlu disebat di khalayak ramai.

Thursday, September 3, 2009

Cadangan-cadangan untuk perpaduan-lagi!

1Sekolah untuk semua

Ramai yang berkata generasi muda sekarang kurang bergaul sesama kaum. Yang melayu akan duduk melepak bersama melayu sahaja. Begitu juga dengan yang cina mahupun india. Tidak percaya sila lihat di kedai makan. Buka mata dan perhati. Ia adalah rahsia terbuka (open secret).

Hendak menyalahkan generasi muda sepenuhnya juga tidak wajar. Mereka dibesarkan di dalam kerangka yang berpecah-pecah semenjak dari kecik lagi. Salah satunya ialah sistem pendidikan kita yang pelbagai jenis aliran. Ada aliran kebangsaan, ada aliran cina dan ada aliran tamil.

Memang kepelbagaian itu bagus dan perlu diraikan. Tetapi kepelbagaian yang menyebabkan kita saling berpecah perlu dihentikan. Sistem pendidikan kita perlu diseragamkan. Wujudkan satu sistem persekolan sahaja. Melayu, cina dan india pergi ke sekolah yang sama.

Biarkan anak-anak kecil yang masih bersih jiwanya bergaul sesama sendiri. Biarkan mereka menjalin persahabatan di bangku persekolahan lagi. Biarkan mereka belajar untuk saling menghormati budaya kaum lain. Dari situ barulah perpaduan yang sebenar dapat diwujudkan. Bukan perpaduan plastik yang cuba dipupuk dengan lagu atau senaman 1Malaysia.

Apa kata anda?

Cadangan-cadangan untuk Perpaduan

1Kawasan Perumahan untuk semua

Saya terbaca berita mengenai rancangan perumahan rakyat. Katanya kerajaan akan membina berpuluh ribu unit rumah mampu milik bagi rakyat- terutama rakyat miskin. Ini langkah bagus.

Macam mana kalau kerajaan wujudkan sistem perumahan terancang? Adakan kuota di setiap kawasan perumahan. Macam kerajaan buat untuk agihan unit amanah saham. Ada peratus untuk melayu dan ada peratus untuk cina dan india. Maknanya di setiap kawasan perumahan itu, akan ada semua kaum yang tinggal.

Bagi saya- selain daripada pendidikan, kita juga boleh memupuk perpaduan melalui kejiranan. Kalau tadi kita mula dengan anak-anak kecil. Bagaimana pula dengan golongan dewasa/tua? Inilah jawapannya. Takkan nak suruh orang dewasa ni pergi ke sekolah pulak kan. Jadi cara terbaik ialah dengan tinggal dan duduk bersama di kawasan perumahan.

Selain daripada wujudkan kuota, mungkin kerajaan boleh memberi insentif seperti rebet cukai pintu dan diskaun harga rumah untuk menarik perhatian semua warga.

Tuesday, September 1, 2009

Selamat Berbuka Puasa!


'They say we're in the crisis of capitalism. Whether it is true or not, I believe a few years from now, strange as it may sound, we might all find that we are hungry for more capitalism, not less. Is it the end of the world? I wonder. Don't you think so?' -Radzi Tajuddin on the future of capitalism

Monday, August 31, 2009

Kisah Merdeka Anak Muda

Selepas sahaja sahur, aku terus ke Parlimen. Bukan sebagai wakil rakyat mahupun wakil parti. Jauh sekali sebagai peserta perarakan hari kemerdekaan. Aku ke sana sebagai seorang photographer runcit-runcit- yang baru belajar. Dengan Canon E450D, aku mahu mengstatikkan pemandangan pada hari ini. Cukuplah jika dapat 2-3 keping gambar yang boleh buatkan aku puas. Namun...

Aku tertinggal bateri kamera di rumah. Malam tadi charge, tapi lupa nak ambil. Satu kesilapan bodoh di hari yang ke 52.

Marah dengan diri sendiri, aku terus beredar keluar daripada bangunan Parlimen. Tidak perlu menyeksa diri dengan majlis yang sebegitu bosan. Kadang-kadang aku terfikir, apa kaitan perarakan/perbarisan/lintas hormat dengan merdeka? Tidak bolehkah setiap tahun pengisiannya berubah? Mana ada peraturan bertulis yang kata setiap kali merdeka kita perlu berarak dan berbaris.

Lalu aku terfikir, bagaimana kalau merdeka tahun depan disambut dengan mengharamkan kereta persendirian daripada bergerak di Kuala Lumpur. Biarkan hari itu jalan raya KL menjadi lengang tanpa kereta. Biarkan bumi Kuala Lumpur bernafas segar tanpa asap hitam. Biarkan rakyat Malaysia bergerak dan menapak. Biarkan merdeka daripada penjajahan kereta. Jangan kata ini idea gila. Di Itali dan Jakarta pernah diadakan acara car-free ini.

Tidak terus pulang ke rumah- aku melepak di Taman Tasik Perdana. Akhirnya manusia memerlukan kehijauan untuk ketenangan. Ini hakikat. Di sana aku membaca surat khabar hari ini- edisi 52. Tidak sampai 15 minit, aku sudah selesai khatam The Star dan NST. Ceh, banyak iklan dari berita. Iklan merdeka versi 1Malaysia bersepah-sepah. Semuanya daripada syarikat-syarikat besar. Ini lagi satu perkara bodoh. Kenapa perlu beli iklan besar-besar untuk ucapan merdeka? Untuk potong cukai kan? Tak pun untuk bodek pemimpin?

Tak boleh ke syarikat-syarikat ini memikirkan cara lain yang lebih bermanfaat? Beli iklan bukan orang miskin boleh makan. Beli iklan bukan dapat jadikan rakyat kita lebih bijak. Beli iklan ni adalah perkara kosmetik sahaja. Macam mana kalau duit beli iklan itu digunakan membeli buku-buku berkualiti untuk diberi kepada sekolah dan universiti? Takpun guna duit tu untuk tubuhkan satu pasukan bola sepak. Amacam?

Selesai membaca akhbar, aku ke KLCC pula. Di sana aku duduk dan memikirkan tentang Malaysia. Oh, bunyinya seakan poyo. Tetapi aku cuba berkata jujur. Aku asyik bertanya pada diri, 'ke mana Malaysia selepas ini?' Melihat kepada situasi sekarang, aku berasa sangat risau. Perkara kecik seperti sebat dan kuil pun tidak selesai-selesai. Bukankah sekarang ini krisis ekonomi? Jiran kita Indonesia pun sudah mula bangkit mengatur langkah. Dah jadi negara jemputan untuk G-20. Kita? sibuk bising-bising tentang hak cipta tarian Pegan dan Manohara.

Apa sebenarnya orang-orang tua yang memimpin negara ni buat?

Makin lama aku fikir makin aku mengerti apa erti kemerdekaan bagi diriku. Bagiku, merdeka ialah apabila orang muda macam aku diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara kita. Merdeka ialah apabila suara kami lebih didengari dan diambli kira. Merdeka ialah apabila generasi muda didekati bukan dihukum perbuatannya, dikutuk pandangannya dan dihina mindanya. Bukan juga sekadar turun mengundi 5 tahun sekali.

Aku mahu negara ini benar-benar kepunyaan semua. Bukan terhad kepada generasi tua yang memerintah. Tetapi terbuka untuk generasi muda juga. Inilah erti kemerdekaan bagiku.

Merdeka

" Jika hati kita tidak sehaluan, kau masih mahu aku?" - tanya Maya Karin kepada aku di tahun 1957. Sudah 52 tahun sejak ungkapan ini diucapkan. Mungkin Maya Karin sudah menjadi milik orang lain, tetapi negara yang bernama Malaysia tetap menjadi milikku.

Selamat Menyambut Kemerdekaan Semenanjung Malaysia!




Ps: Ramai yang kata bendera negara dan lagu kebangsaan- semuanya dicilok dari luar. Macam mana kalau kita tukar lagu kebangsaan dan bendera Malaysia? Apa pendapat anda?

Sunday, August 30, 2009

Merdeka

Hari ini hari ahad- hari yang indah. Kenapa hari ahad mesti dikatakan indah? Sebab namanya ahad atau sebab hari ahad hari cuti?

Cuti dari apa? Dari kerja, dari kuliah, dari sekolah, dari jalan sesak di jalan raya, dari kerja bertimbun, dari bangun pagi dan dari segala macam. Kadang-kadang terfikir- tidak bolehkah manusia hidup macam hari ahad pada setiap hari? Bergembira sepanjang masa. Buat apa yang mereka minat. Pergi memancing, pergi sungai, pergi melancong, pergi memanjat gunung, pergi masuk hutan, pergi berkebun dan pergi keluar bersama keluarga atau rakan-rakan. Tidak bolehkah?

Kenapa mesti terikat dengan perkara-perkara yang tidak disukai? Kenapa perlu berasa tertekan untuk melakukan perkara sama berulang kali? Kenapa?

Kenapa tidak merdekakan diri? Kenapa tidak merdekakan minda?

*
Tepat jam 12 malam ini, semenanjuang Malaysia akan meraikan kemerdekaan negara yang ke 52. (Sabah dan Sarawak merdeka pada 16 Sepetember. Ini dua perkara yang berbeza.)


Apa erti kemerdekaan anda?

Kuliah Agama Ahad

Nama Islam berasal daripada perkataan salam. Salam bermaksud sejahtera dan aman.

Kalau dah sampai nak pijak kepala lembu sebab lembu adalah haiwan suci bagi agama hindu- tu dah membawa kepada perkara yang tidak aman dan sejahtera. Islamkah tindakan itu?



Ingat- apa yang kita perlukan di muka bumi ini ialah sejahtera dan aman. Kerana nama Islam itu sendiri menganjur kepada keamanan dan kesahterajaan.

Saturday, August 29, 2009

Setan dan Meriam.

Sebagai menghormati gencatan politik, aku tak akan menulis pasal politik sampai merdeka. Hari ini mari bercakap tentang bola sepak.

Aku ingin menulis mengenai previu perlawanan Manchhester United vs Arsenal.

Awas, pandangan ini memang berat sebelah. Bias dan tidak adil. Kerana aku adalah peminat MU. Lagipun nama pun pandangan. Mana ada pandangan yang tidak berat sebelah. Pandaagan mestilah berat kepada orang yang memberi pandangan itu.

*
Malam tadi bila dah selesai solat terawih 8 rakaat, Alex Ferguson say Hi kat aku. Tak sangka pakcik Alex pun tak larat nak buat terawih penuh. Katanya, haitnya tak khusyuk mengenangkan perlawanan malam ini menentang kelab 'diving' iaitu Arsenal. Bukanlah runsing apa sangat- cuma tengah fikir nak cakap apa bila diinterbiu oleh soccernet/sokernet bila dah menang game tu nanti.

*
Pakcik Alex tanya aku nak letak siapa 1st eleven. Aku cakap jangan taruk Ferdinand dan Van Der Sar. Nanti kesian adik-adik Arsenal tak dapat main style free-scoring. (peh- bunyianya macam free sex pulak). Mendengar cadangan aku itu, terus pakcik Alex lempang aku. 'Memanglah aku tak taruk depa, dah depa tu injured.' Aku memegang pipi yang berbirat. Dalam hati 'celaka kau orang tua, tak tau bezakan antara gurauan dengan keseriusan ke.'

Pakcik Alez tanya lagi- nak taruk sape sebagai 1st eleven. Aku dah tak ada mood lantas menjawab- taruk je lah sesiapa asalkan bukan winning eleven. Dan terus aku blah naik motor balik ke bilik. Karang tak pasal-pasal kena karate pulak.

*
Mengikut rekod dari mula season, Arsenal adalah kelab yang bermurah hati dalam menghadiahkan gol kepada lawan mereka. Tiap kali game, mesti diorang akan bagi 1 gol. Oleh keran itu, adalah sangat pasti MU akan dapat 1 gol percuma malam ini. Macam fixed deposit la lebih kurang.

Aku rasa Berbatov yang gol- itupun dengan syarat dia baca bismillah bila nak sepak bola tu. Agar kencanglah sikit tendangannya.

*
Jadi berapa keputusan untuk game malam ni? Aku rasa 1-0 je. Sempena bulan Ramadhan Mubarak ni tak baik membazir. Cukuplah sekdar bersederhana dalam setiap perkara. Apapun keputusan tekaan aku tertakluk pada terma dan syarat. Sebabnya kalau ikut suka aku, aku nak MU menang 7-1 dengan Arsenal. Tapi aku kena sedar jugak hakikat yang sekarang ni tengah krisis ekonomi dunia, kena berjimat dan berhemat.

*
Tadi dapat sms dari Abg Giggs. Dia kata game malam ni semua player MU puasa. Sebagai menghormati bulan Ramadhan. So diorang tengah sahur bubur lambok sekarang. Nak bagi energy. Palyer Arsenal tak tahulah pulak puasa ke tidak. Tapi kalau tak puasa memang nak kena sebat di khalayak ni. Ops..

*
Okeylah, tren aku dah tiba. Jumpa di Old Trafford ok?



ps: masa terawih semalam, ada pakcik pakai baju arsenal buat solat. Masa pergi bazar pulak, ada brader pakai baju setan (MU) untuk kuar dating dengan awek. Pakcik dan brader oi, baju bola untuk main bolalah.

Friday, August 28, 2009

Semangat!

Gua dah minum 2 gelas kopi. Kalau mengantuk jugak terawih nanti tak taulah..

Thursday, August 27, 2009

Apa yang penting?

Kita dikatakn dalam dunia kapitalis apa yang penting bukannya kerjsama. Sebaliknya apa yang penting ialah duit. Memang benar duit bukan segalanya. Tetapi segalanya memerlukan duit. Ini hakikat. Dalam hidup seharian kita, semuanya berkisar tentang duit.

Kita pergi kerja, buat kerja, mintak kerja, cari kerja- sebab nak duit kan? Mungkin ada yang kata sebab minat dan kerjaya. Tetapi tipulah kalau duit bukan faktornya. Kalau tak kenapa semua sibuk nak jadi doktor, engineer, arkitek, akauntan? Sebab gaji besar kan? Cuba kalau kerja arkitek gajinya macam orang kerani, tak adanya budak-budak ni sanggup tak tidur malam terkejar-kejarkan gelaran 'AR' tu. Samalah jugak dengan gelaran 'DR' mahupun 'IR'. Mungkin ada yang kata 'eh mana ada, ibu bapa yang suruh.' Ibu bapa kita pun suruh kita ambil bidang tu sebab bidang tu lumayan. Masyuk. Yelah, nama pun ibu bapa. Mesti nakkan yang terbaik untuk anak-anak.

Kita pergi sekolah, masuk kolej, daftar universiti- pun sebab duit jugak. Sebabnya bila kita belajar, kita dapat ijazah. Bila dapat ijazah, kita boleh kerja best-best. Kerja best-best dapat duit pun best. Sekali lagi, sebab duit jugak. Cuba kalau kita bagi pilihan kat budak-budak ni 'tak payah ada ijazah dah boleh kerja.' Tup tup universiti sunyi dan lengang. Tak ramai orang yang masuk ke universiti kerana ilmu. Betul, tak ramai.. Ilmu apanya kalau universiti dah macam kilang pekerja. Bukannya meneroka cabang ilmu yang baru. Pelajar bagi pandangan lain sikit- dah dikira salah. Tak ikut skemalah. Tak sama dengan bukulah. Pro-pembangkanglah.

Masa nak belajar pun duit jugak yang penting. Orang apply PTPTN- sebab nak duit bukan sebab hobi atau trend semasa. Samalah jugak kenapa pelajar mengejar biasiswa. Boleh jalanlah kalau ada pelajar nak biasiswa kerana alasan 'saya ingin menyumbang kepada negara....bla bla bla....'. Ini tipu besar. Kalau biasiswa tu tak datang dengan duit, harapanlah orang nak mintak.

Itu belum kira lagi kenapa ramai orang bercerai- sebab kebanyakannya tak cukup duit. Kenapa orang sekarang kahwin lambat- sebab nak tunggu duit cukup dulu. Kenapa orang melacur, merompak, mencuri. memeras dan menipu- sebab nak dapat duit dengan cara senang atau dah tersepit.... Kenapa itu, kenapa ini..Pendek kata- duit adalah numero uno, nombor satu.

Sekali pandang bunyinya cukup negatif kan?

Sebenarnya tidak juga. Duit adalah motivasi kepada setiap manusia di muka bumi ini. Duit adalah penggerak. Duit adalah pendorong. Tanpa duit, manusia tidak ada sebab untuk melakukan sesuatu. Yelah, nak kejar apa lagi dalam kehidupan seharian. Buat apa pergi kerja susah-susah dan sesak-sesak. Buat apa belajar sakit kepala sampai tak tidur. Baik buat tak tahu dan jadi malas. Setidak-tidaknya duit menjadi sesuatu alat untuk dikejar.

Okey, orang muslim yang berpandangan sempit mesti akan kata 'kita diciptakan di muka bumi ini untuk beribadahlah. Bukan duit!' Yelah, mencari rezeki (duit) juga adalah ibadah. Kalau tak, macam mana nak bayar zakat. Zakat hanya boleh dibayar jika ada keuntungan. Keuntungan itu duitlah. Lagi satu, tak cari duit, mana nak cekau duit untuk sedekah.

Ikut hierarki Moslow pun, manusia ni memang perlukan penghargaan peribadi. Dalam bahasa omputih kita sebut personal gains. Nak tak nak dalam diri kita memang ada perasaan ingin mendapatkan sesuatu. Ingin dihargai. Ingin selesa. Ada yang nak kereta besar, rumah besar, makan besar dan dompet besar. Kalau tak ada duit, mana nak dapat semua benda ni?

Okey-okey. Aku tau mesti ada yang nak kata ' ha itulah masalahnya. Semua orang nak benda besar-besar. Mana cukup nak puaskan nafsu manusia ni. Ingat sumber di muka bumi ni cukup ke?'

Betul. Tapi itu jenis orang yang tamak. Jenis balun tak tengok kiri kanan. Jenis tak fikir orang lain. Individualistik. Tapi adakah masalahnya ialah duit? Tidak. Ini masalah sikap. Bukan duit. Duit adalah alat sahaja. Diri kita sendiri yang menguruskannya. Maknanya terpulanglah pada diri. Betul cara kita belanja- betullah hasil. Salah cara kita belanja- salahlah akibatnya.

Ingat- jangan sampai jadikan duit sebagai tuhan. Itu sahaja. Ingat juga- duit bukan punca segala kejahatan. Puncanya ialah diri manusia. Dan duit bukan manusia. Kalau tak wujud duit pun, manusia tetap buat kejahatan.

Apa yang penting? Kerjasama? Duit? Salah. Yang penting ialah perangai diri sendiri.

Tuesday, August 25, 2009

Monday, August 24, 2009

Gencatan Politik


Fuh, akhirnya lega dah selesai submission projek. Dia punya feeling- macam tengok lampu isyarat tukar kaler hijau. Lega dan suka.

Tadi masa memebeli juadah berbuka di bazar, aku terfikir sesuatu. Aku ingat minggu ini aku nak buat gencatan politiklah. Maknanya blog Basuh Baju tidak akan menulis tentang politik. Amacam?

Giler apa, aku pun manusia normal jugak. Boleh meletup otak aku asyik nak sembang benda serius je. Perempuan pun tak suka. (nanti sampai bebila aku tak ada awek. kah kah kah)

Jadi minggu ini aku akan menulis benda-benda biasa sahaja. Mungkin tulis entri pendek-pendek. Mungkin juga tulis tentang hidup aku sikit-sikit. Tengoklah macam mana. Yang pasti- gencatan politik bermula sekarang sampai Ahad!



ps: ala, politik kat Malaysia ni bukan matang pun. Wataknya sama je. Skrip pun tak pernah berubah. Bikin sakit je nak menonton. hahaha Oh ye, esok PAS menang. Tapi majoriti sikit. Dalam ratus-ratus. Tapi kalau UMNO menang pun bagus jugak. Biar sedar diri sikit Pakatan Rakyat. Asyik berpolitik siang malam- hasilnya mana?....okey-okey, aku stop pasal politik.

Sunday, August 23, 2009

Ya dan Tidak

PERTAHAN KONTRAK SOSIAL

ALOR SETAR 18 Ogos – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah bertitah, negara akan berhadapan dengan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik.

***********************************************************************

KITA PERLUKAN KONTRAK SOSIAL YANG BARU

Manusia memang hidup dengan perjanjian. Ini hakikat. Ada perjanjian yang dibuat secara lisan- seperti berjanji hendak menubuhkan kerajaan pada 16 September. Ada perjanjian yang dibuat secara bertulis seperti yang tercatit di perlembagaan. Dan ada pula perjanjian yang dimatikan setem seperti perjanjian biasiswa.

Perjanjian juga boleh datang dari Tuhan. Contohnya kalau kita buat baik, akan dibalas baik. Buat jahat akan dibalas jahat. Ada juga perjanjian dimeterai sesama manusia. Contohnya dalam perkahwinan- akad ialah perjanjian antara suami isteri. Dalam perniagaan, lagilah banyak perjanjian hitam putih yang dibuat antara penjual dan pelanggan. Malah kita lahir ke dunia ini pun melalui perjanjian yang dibuat dengan Tuhan.

Begitulah bentuk-bentuk segala macam perjanjian yang ada di dalam kehidupan kita. Mahu tidak mahu- kita perlu menerimanya. Perjanjian umpama ikatan. Tanpa perjanjian, hidup ini umpama naik kapal terbang yang tak ada GPS. Boleh terbang tetapi tidak tahu arah tuju. Begitulah halnya apabila kita bercakap mengenai kontrak sosial.

*
Baru-baru ini heboh sana sini mengenai kontrak sosial. Belah sini mahukan ia dihapuskan, belah sana mahukan ia dipertahankan. Bagi saya, dua-dua belah perlu dibelah-belah. Ramai yang tidak faham, kontrak sosial adalah satu bentuk perjanjian yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu. Perjanjian inilah yang menjadi asas kepada hubungan antara kaum. Kaum Melayu, Cina dan India telah mencapai kata sepakat dan saling bersetuju dalam beberapa perkara. Hasilnya, ia membawa kepada pembentukan negara Malaysia. Paling penting, ia berjaya mengekalkan hubungan baik antara kaum. (mungkinlah tidak berapa baik, tetapi taklah pula begitu teruk)

Mungkin ada yang berkata kontrak sosial adalah alat yang dibuat oleh British untuk pisah-pisahkan kita. Kata mereka kerana kontrak sosial inilah, perpaduan sebenar Bangsa Malaysia tidak dicapai. Ada kebenarannya di situ. Tetapi cuba kita fikir sejenak, adakah masalah perpaduan di negara kita berpunca daripada wujudnya kontrak sosial?

Jawapannya ya dan tidak.

Tidak. Kerana adanya kontrak sosial ini, setiap kaum tahu had masing-masing dalam memperjuangkan nasib mereka. Yang melayu tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Yang cina pun faham. Yang india juga sedar. Kalau kita lihat pun, Malaysia di awal 60-an dan 70-an begitu harmoni. Mereka tidak bercakap tentang kontrak sosial kerana mereka faham itulah perjanjian yang telah dibuat. Mereka telah bersetuju tentang beberapa perkara. Mereka hidup berlandaskan kontrak sosial. Dari situlah, mereka membina perpaduan.

Ya kerana perjanjian yang dibuat 52 tahun dahulu sudah tidak lagi relevan pada generasi sekarang. Kontrak sosial sekarang dilihat berat sebelah. Mana logik apa yang dipersetujui oleh atuk nenek kita dahulu dibebankan kepada generasi sekarang. Zaman dulu situasinya berbeza dengan situasi sekarang. Kalau dulu, isunya ialah hak kerakyatan dan kemerdekaan. Tapi situasi sekarang, negara dah merdeka dan semua orang pun dah menjadi rakyat yang sama tarafnya. Isunya pun dah berubah.

Sudah menjadi lumrah, mana-mana perjanjian yang tidak adil pasti akan berlaku rasa tidak puas hati dan penentangan. Itu pun yang berlaku sekarang ini. Tapi tak bermakna kerana adanya penentangan bermaksud kita sudah tidak perlukan kontrak sosial. Kita perlu. Cuma yang kita perlukan ialah perjanjian yang baru. Ini pun cara yang terbaik. Biarlah generasi sekarang duduk semeja dan berbincang mengenai perjanjian yang baru. Biarlah perjanjian baru ini dipersetujui oleh semua pihak. Biarlah selepas ini isu kontrak sosial tidak lagi dimainkan. Biarlah tidak ada sesiapa yang rasa tidak puas hati lagi. Biar je lah- apa yang nak ditakutnya?

Hello, perjanjian apa yang tidak pernah berubah? Hukum-hakam agama pun boleh dibincang dan disesuaikan mengikut masa dan tempat. Takkanlah kontrak sosial ni tak boleh dipinda, dibincang dan digantikan dengan kontrak sosial yang baru? Apa yang keramatnya kontrak sosial ini sehingga tak boleh disentuh langsung? Habis tu apa fungsi ahli Parlimen yang diberi kuasa untuk meminda Perlembagaan? Sekadar atas kertas? Kalau begitu lebih baik jadi tuhan dengan menjadikan kontrak sosial sebagai perjanjian yang mutlak. (yelah, perjanjian dari tuhan sahaja yang mutlak dan tidak berubah).

Sedarlah, kita sudah begitu lama terperangkap dengan isu-isu kontrak sosial ini. Rasa saya sudah hampir berbelas tahun lamanya. Takkan dari kecik hingga besar asyik nak berkontrak sosial saja? Ekonomi apa cerita?

Masih tidak percaya kita perlukan Kontrak Sosial yang baru lagi?

Saturday, August 22, 2009

Nota Sebentar

Selamat berpuasa untuk semua pembaca yang beragama Islam.

Jangan tak bangun sahur- sebab nanti tak bangun subuh.
Jangan tak berbuka puasa- sebab jelas anda tak berpuasa.
Jangan main mercun depan pintu surau- kena kejar dengan tok imam baru tau.
Jangan selalu tinggal Terawih- bila lagi nak beribadah.
Jangan sibuk membeli itu ini tetapi zakat dan sedekah dilupakan.

ps: Jaga diri semua. Wabak H1N1 semakin serius. Jangan panik.


Basuh Baju minta maaf kerana tidak dapat menulis untuk dua tiga hari ini. Sibuk dengan projek. (Ceh, inikah nasib sebagai pelajar senibina?)

Tuesday, August 18, 2009

1Cadangan di Permatang Pasir

Masuk kali ni dah 7 kali Pilihan Raya Kecil diadakan. Rasa dah muak nak tengok cara parti-parti politik berkempen. Orang ni kutuk orang ni, orang tu balas balik. Pihak ni mainkan isu bangsa, pihak lain pulak mainkan isu agama. Dua-dua lebih kurang je.

Saya ada cadangan bagaimana nak menjadikan kempen pilihan raya kali ini lebih segar dan lebih pesta.

Apa kata dibuat perlawanan bola sepak antara Barisan dan Pakatan? Seronok kan? Biar politikus-politkus kita keluar peluh daripada asyik keluar air liur.

Yelah, nak ajak debat terbuka atau forum macam mustahil je. So baik main bola sepak. Apa yang susah sangat?


ps: Siapa ada cadangan lain? Mari-mari kita kongsi bersama!

1Soalan di Permatang Pasir- 1

Macam mana kalau diadakan debat terbuka atau forum antara kedua calon di Permatang Pasir?

Suruh mereka berdebat tentang pelan ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Barulah nampak siapa lagi terer.

Takkan susah sangat kot? Tapi, apa yang susahnya?

Monday, August 17, 2009

Persoalan di Permatang Pasir

Macam mana kalau calon Barisan lebih berkelayakan, lebih berkebolehan, lebih bijak, lebih hebat dan lebih cool daripada calon Pakatan? Adakah rakyat di sana akan berubah memilih Barisan? Sedangkan parti-parti dalam Barisan sudah kurang kredibilitnya dan semakin ditolak rakyat.

Macam mana pula kalau calon Pakatan tidak hebat, tidak layak, tidak bijak dan tidak ccol seperti calon Barisan? Adakah rakyat di Permatang pasir akan tetap memilih Pakatan? Yelah, Pakatan merupakan gabungan parti poltik yang semakin diterima rakyat terutama golongan muda.

Macam mana agaknya kalau calon Barisan dilihat korup, sombong dan tidak mesra rakyat? Penyokong Barisan masih mahu mengundi calon itu?

Macam mana agaknya kalau calon Pakatan dilihat islamik, bersih dan mesra rakyat? Adakah penyokong Barisan akan berubah sokongan?

Macam mana?



ps: kalau kita terikat dengan parti-parti politik, mesti kita berasa susah nak menjawab persoalan-persoalan ini. Sebab apa? Sebab bagi kita, yang penting ialah parti sendiri menang. Tak kisahlah calon kita bagus ke tidak. Asalkan parti sendiri menang dan parti lawan kalah, walaupun calon mereka jauh lagi bagus. Ini merupakan salah satu contoh di mana minda kita terikat dengan parti-parti politik..

Jadi bagaimana nak jadi bijak dan bebas? Jawapannya: jangan berparti. Jangan terikat dengan Barisan ataupun Pakatan. Dengan cara ini kita dapat menilai calon-calon yang bertanding dengan lebih rasional. Kita akan melihat melangkaui garis parti politik. Siapa yang layak, dialah kita undi. Tak kisahlah dia Pakatan atau Barisan.

Ini barulah kita panggil wakil rakyat. Bukannya wakil parti.